19 May, 2010

GURU


Bicara hari ini
tentang guru
jasanya tidak terkira
kasihnya tidak bertepi
tugasnya tidak pernah berhenti.

Bicara hari ini
tentang guru
yang kecundang dalam pengembaraan
perjalanan meragut kehidupan
yang parah melayan kerakusan
dan tidak pernah menyusuri syukur.

Bicara hari ini
tentang guru
bakal diulit insentif dan hadiah
menghitung NKRA dan prestasi berganda.

Bicara hari ini
tentang guru
gembira naik pangkat
gembira naik gaji
dan tentang siksa melayan situasi
beg berat
sahsiah pelajar
kerenah ibubapa
tekanan pihak atas
transfomasi pendidikan.

Bicara hari ini
adalah tentang guru
mesti fikir anjakan paradigma
mesti fikir modal dan modul
sama tidak lupa
anak-anak di rumah
isteri dan suami juga di rumah
mereka juga perlu makan
mereka juga perlu perhatian.

- Ilham Syakima
16 Mei 2010

04 May, 2010

AKU SUDAH TUA



Dalam usia senja begini
dengan petaka menghantu diri
kesayuan dan kegelapan adalah teman rapatku
kesunyian dan kesepian adalah teman muliaku
usah siapa peringatkan tentang masaku
aku semakin intim dengan teman-teman itu
sering bersamaku sepanjang waktu.

Anak-anakku tidak perlu bimbang
isteriku tidak perlu walang
mereka tahu aku ada ramai kawan
yang sentiasa setia bersamaku
siang dan malam, pagi dan petang
dalam ruang semakin menghimpit ini.

Dalam usia senja begini
aku semakin kaya dengan air mata
aku semakin disirami sebak dan hiba
dan anak-anakku semakin tidak bimbang
kerana hari sentiasa berganti malam dan siang
isteriku juga semakin jauh memandang
kerana aku akan dibawa pergi jua
tiada siapa jadi penghalang.

Dalam usia senja begini. aku
semakin rapat dengan teman sepiku
semakin intim dengan teman sepiku
semakin mesra dengan teman sunyiku
anak-anakku tidak perlu bimbang
isteriku tidak perlu walang
aku semakin serasi dengan teman-temanku
dan aku boleh hidup begini
sebelum aku dibawa pergi.

- April 2010

25 April, 2010

LUKISANKU


Aku melukis di hati
tentang rasa dan rupa
lalu aku warnai kenangan
menjadi sejarah kehidupan
tanpamu di sisi.

Aku melukis di air
tentang kemanisan yang hilang
setiap riak dan alun yang datang
menghakis garisan dan warna
menjadi pusaran derita.

Aku melukis di batu
bermusim memahat namamu
terkulai jemari menahan pilu
garisanku terlalu panjang
dan warnaku hilang dibawa renyai hujan.

Aku melukis di langit
dengan awanan semakin kelabu
berarak membawa wajahmu
dan aku kekal sendirian
berlagu dengan longlai dan sumbang.

- April 2010

18 April, 2010

MENTARI KASIH



Bila malam menjadi bening
dan cahaya bulan sudah pudar
ketika aku mahu berbicara,
aku telah tahu arahnya mentari
bakal tiba esok.



Sekali kau memalingkan wajah
dari cahaya mataku
suram dan mengharap
sadarlah aku bahawa
tidak berguna aku menanti
letusan hatiku yang malu.



Takdir telah menghebahkan rencananya
aku dan engkau bukan lagi berdiri
di gelanggang sejahtera
dan di persada bahagia
mentari kasih tidak bercahaya.



- Ilham Syakima,
April 18, 2010

14 April, 2010

NAMAMU DI BUKU TAKDIRKU


Dalam kabus kelam
aku berdoa engkau datang
jika kau tahu erti sepi
dan resah menyerang
ketika malam tidak berbintang
dan bulan tiba-tiba suram
brnafas dalam lumpur
bersenandung irama diam.

Terasa sangat kepingin menggulung bumi ini
menyedut air dan mengeringkan laut segara
dunia bertukar sahara
belum cukup pedihnya luka hati
cinta menjadi petaka.

Wajib aku mendongak
melihat lakaran wajahmu di langit
sambil berdoa dan menulis namamu
dengan hitam dakwat kasihku
pada helaian takdirku.

13 April, 2010

TETAMU CINTA



Kau pun tersentuh, rebah
bersama luruh dedaunan gundah
akupun terkedang di bawah
rendang pohon pertemuan kita
salju memijar kembara kisah
yang bermula dari perdu rindu
kita pun saling bertanya
apakah bayu akan menari bersama.

Memunggah cinta di celah gugur bunga
ada kenangan yang terhakis
ada rawan yang terlukis
lalu kita dilarikan siang
bila kalbu perlahan bergoyang
tiada jemu aku mencarimu
hingga malam membutakan bayang
hingga aku kaku, terkelu.

Bila bunga menjadi kata
pohon kasih kita akhirnya
berbicara kepada tetamu cinta!

- April 4, 2010
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template