04 October, 2014

INILAH POLITIK

Kata orang:
Sekotor-kotor manusia adalah orang politik
Hendak menjadi orang politik mesti pandai berbohong
Politikus bijak adalah yang pandai menabur janji
Memijak kawan untuk naik ke atas, 
mainan biasa dalam politik
Kalau muka nipis jangan main politik
Politik hanya mainan untuk hari ini, esok lain bicaranya.

Hari ini berjanji, esok berjanji lagi,

perkara biasalah dalam politik.
Hari ini berkata ya, aku sokong,
esok boleh berkata tidak.
hari ini aku berdiri teguh di belakangmu,
esok sokong pula undi tidak percaya.

Hendak berpolitik kena pandai kritik

orang buat apa saja, kritik dulu kemudian baru fikir
heboh sakan jika kita benar-benar di landasan
buat tidak tahu saja jika tersalah terjah.

Politik terjah kena buat orang marah

reka cerita, biar timbul benci membenci
kita pasti dapat peluang cerah
untuk naik lagi setakah
nasib orang lain apa peduli.

Itu kata orang tentang politik.


Kataku pula:

Politik itu umpama najis
biar ia berjauhan dari kita dalam semua majlis
dan jangan dekati politik
jauhi ia selagi dapat.

- Ilham Syakima.

25 September, 2014

ANTARA BUNGA DAN POLITIK



Kelopak mawar pasti akan gugur
satu lepas satu
seperti lelahnya kita
mendaki hidup yang tidak pasti,
biar semua kenangan pergi
dunia pasti akan kiamat juga
biarkan politik yang semakin gila
asalkan bukan kita.

- ilham syakima
  25 September 2014

18 September, 2014

BELUM KIAMAT.


Terasa dunia belum mahu kiamat
masing-masing masih giat
berebut pangkat
berapa orang sangat beramal ibadat
bukannya ada yang ambil berkat
yang ramainya orang tak tahu adat.

Ada juga menjadi tupai pandai melompat
tapi akhirnya jatuh juga ke tanah keramat.

Bukan sedikit setia menjadi sang kerbau sihat
dicucuk hidung tetapi tetap tunjuk kuat
menarik andur muatan berat.

Bukan sedikit juga menjadi lembu keparat
bukan pandai sangat
tetapi bodohnya bagai dibuat-buat.

Rasanya 
dunia belum mahu kiamat.

- Ilham Syakima 
  08.09.14

30 August, 2014

MENDUNG DI LANGIT MENDUNG DI HATI


Mendung di langit
tidak akan lama di langit
datang angin dan ribut
ia dibawa pergi 
dan langit cerah kembali.

Mendung di hati
datang tiba-tiba tanpa meminta
ia pasti tidak akan pergi
hingga ke mati.

- ilham syakima
    30 0g0s 14

28 July, 2014

RASA HATI TENTANG BUNGA















Hati biarlah seindah teratai
biar sejuta anganan harus digapai
cantiknya budi, kasih tidak terlerai
biarlah apapun rintangan di laut dan pantai.

Hati biarlah sewangi kenanga
biar hancur kenangan, 
bayangan tetap bermain di jendela minda
ia tetap abadi dalam ingatan.

Hati biarlah semerbak mawar berduri
kelopak ingatan segar dalam diri
bahawa mentari tetap menyinar
memberi cahaya menggilap harga diri.

Diri biarlah sebersih melur
tersusun indah putih berseri
harum baunya seharum embun pagi
dan rasa kasih tidak mungkin berkubur.

- ilham syakima
 HariRaya 2014

13 June, 2014

DI HUJUNG USIA


Ketika bersila di hujung usia
terasa gayat bak di awangan
takut terjuntai kaki
tersangkut onak di awan.

Apakah aku masih bertahan

dengan sumpah
atau dengan ikrar semalam
bahawa dosa terhakis semuanya?

- ilham syakima,
 Jun 2014

06 May, 2014

KEHILANGAN

Aku kehilangan
semuanya berpaut di mimpi
yang pasti tiada tepi
tapi bukan untuk aku.

-ilham syakima'
Mei 2014

13 April, 2014

MAMPUKAH AKU ?

Mampukah aku
bercinta lagi di usia ini?

Aku takut terluka lagi

seperti dulu
parutnya masih ada di hati
darahnya masih basah diminda.

- Ilham Syakima
   April 2014

15 February, 2014

BUKALAH PINTU HATINYA

Tuhanku
bukakanlah sedikit
ruang hatinya
buat dia menghormati aku
sebentar pun
jadilah.

- ilham syakima.
   Februari 2014
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template