29 July, 2010

JIKA ENGKAU DATANG



Jika engkau datang malam ini
aku sediakan untukmu
buih-buih yang aku susun
rangkaikan untaian ombak
buat kamu yang aku dambakan
melakar cerita buat kita.


Jika engkau datang malam ini
akan aku hidangkan buatmu
awan yang telah aku anyam
menjadi permaidani indah
buat kamu bersimpuh di atasnya
bercerita ke hatiku
tentang perasaanmu.


- 29 Julai 2010


28 July, 2010

TANPA AIRMATA


Usah bicara tentang airmata
ia telah lama jatuh di hujung rumput
dan kering dipanah mentari
dan kita berdiri membatu di sini
dengan calar rindu dihiria sembilu.


28 Julai 2010

27 July, 2010

KITA TINGGALKAN KENANGAN



Lalu kita berdiri di sini
melihat ombak memukul pantai
membawa kenangan
menjadi sejarah
dan wajahku basah
dengan rembasan hujan
yang tiba-tiba menjadi taufan
menghakis semua pahitmanis
kita berdua.

28 Julai 2010

23 July, 2010

KENANGAN YANG HILANG



Aku lakar kenangan
dengan ombak dan alun
di kuala sengketa
lalu kapal pun tenggelam
bersama sejarah
membawa lara hati
membelah gelombang.

- 23 JULAI 2010

20 July, 2010

BERAKHIR SUDAH

Tiada kagi kasihmu seperti dulu
menyambut setiap kedatanganku
setiap rindu yang berlabuh
di hatimu
pasti menggamitku.

Hilang sudah cintamu
tidak lagi merindui aku
satu ketika dulu
dalam ingatan setiap waktu
dan aku tidak lagi berdaya
membawa mimpi ke dalam tidurmu.

18 Julai 2010

MALU SEORANG MELAYU



Malunya jadi Melayu
asal sebuah bangsa yang cerdik
tetapi amat mudah orang menipu
dari sebuah bangsa yang agung
sudah berubah jadi bodoh sombong.

Malunya jadi Melayu
ada bahasa sendiri
tetapi selalu hanya diletak ke tepi,
kononnya ia bahasa kebangsaan
langsung ia tidak dimartabatkan,
tertulis dalam perlembagaan
bahasa asing juga yang jadi pilihan.

Malunya jadi Melayu
jika setakat menang sorak
hakikatnya kampung sendiri tergadai
kokok sahaja berderai-derai
ekor tetap juga bergelumang tahi.

Malunya jadi Melayu
sebuah bangsa merempat di rumah sendiri
Raja sudah tidak lagi berkuasa
angkara Melayu juga
orang lain memegang kunci ekonomi
Melayu hanya layak jadi kuli.

Malunya jadi Melayu
sama-sama mengaku Islam
sama-sama sendiri juga berkelahi
Sesama sendiri juga caci mencaci
tetapi dengan orang lain
intim mengalahkan bini
mulia mengalahkan Nabi.

Malulah jadi Melayu!


-20 Julai 2010

18 July, 2010

MENANGISI KASIH YANG HILANG



Apa lagi
ada dalam hati ini
selain imbau sejarah
sejarah duka
sejarah nestapa
membuihkan kenangan
yang akhirnya hilang
dalam terik panas.

Bahawa mentari
tidak lagi kasihan
menghirup embun pagi
seperti kamu juga
berpaling hati
membawa cinta
membawa kasih

kepada orang lain.

-18 julai 2010.

17 July, 2010

HIDUP TANPA NIKMAT



Aku hidup
tanpa nikmat kehidupan
hanya meneruskan hidup
kerana masih bernafas
aku belum dibawa pergi
dan hukum alam telah datang
menimpa kepala dan fikiranku
bulanku telah kembali
mentariku telah tenggelam
dan sedarlah aku
bahawa aku masti pergi
aku mesti mati
dalam beberapa hari lagi.

Sebenarnya
telah lama aku mati
dan telah lama juga
engkau mematikan aku
bila siapa tidak pedulikan aku
bila engkau tidak menjadi milikku.

Dan aku tidak meminta
aku tidak berharap apa-apa
selain menjadi seorang aku
yang bukan siapa-siapa.

-17 Julai 2010-

16 July, 2010

PERINDU



Aku setia menjadi temanmu
berbicara bila ada ceritamu
bertutur yang aku mesti akur
berbincang tentang yang tidak dirancang
dan aku tetap setia menunggu
walaupun natijahnya sudah aku tahu
bahawa aku tetap menjadi perindu.

Kekosongan ini
amat pasti tidak akan terisi
biar seribu kali aku merayu
kasihmu bukan semudah harapan
dan tidak menoleh lagi
masa pergi begitu sahaja.

Kasihmu yang telah sekian lama
hilang di lautan mimpiku
sudah pasti tidak pulang lagi
pelabuhan ini bukan untuk kita
dan aku menjadi perindu
menghadapi kehidupan yang payah
seorang diri.

-15 Julai 2010

13 July, 2010

CUMA SEBENTAR



Walaupun sebentar
datanglah padaku
akan aku bilaskan kenangan
agar engkau mengerti
bahawa kasihku selama ini
sebenarnya tidak pernah terbahagi.

Walaupu sebentar
berbicaralah denganku
akan aku bisikkan kata rinduku
agar engkau mengerti
bahawa kasihku selama ini
sebenarnya tidak pernah terbahagi.

Walaupun sebentar
bermesralah denganku
akan aku hidangkan kemesraanku
agar engkau mengerti
bahawa kasihku selama ini
sebenarnya tidak pernah terbahagi.

Walaupun sebentar
sudah cukup buat aku
agar engkau mengerti
bahawa kasihku selama ini
sebenarnya masih satu.

13 Julai 2010

12 July, 2010

TINGGAL HANYA AKU



Engkau berlari
menekup wajahamu
membawa mimpiku bersama
menghilang di balik realiti
bahawa aku tidak lagi
mengenangkanmu
persis pernah bersamaku
melayari bahtera
yang tidak sampai
pelabuhan
dan aku meneruskan perjalanan
sendirian menuju infiniti.

- 12 Julai 2010


11 July, 2010

KALAU DAPAT AKU UNDURKAN MASA



Kenapa mesti kita sering bicara
terpecah hati dan duka yang tidak terperi
sedangkan kita tahu
memang tidak ada penghujung yang baik lagi
atau leudahan memang telah kita jangkakan
bahawa aku harus pergi
dan kita akan mngikut jejak sendiri.

Jika dapat aku undurkan masa
pasti kita tidak berdiri di sini
berbicara tentang kepastian
dan ketidakjujuran
atau menengadah meminta simpatimu
dengan waktuku yang sedikit ini.

Dan jika aku dapat undurkan masa
aku pasti tiada di sini
merayu saban waktu
dan merusuhkan jiwaku
dengan gundah duka tidak terkira
dan pasti aku tidak bertemu dengan ranjau
yang bukan milik siapa-siapa.

Lalu apa gunanya kita berbicara
perkara yang kita sudah tahu
kesilapan dan kesalahan sememangnya milik aku
dan entah berapa kali aku menyesali
bahawa aku bukan meminta hukuman
darimu seberat ini.

Mengertilah bahawa aku bicara
dalam kedukaan dan keresahan
menanti awan menutup lelangit atas kepalaku
menutup mentari hidupku
dan pada waktu itu
aku tetap akan pergi meninggalkanmu.

-10 Julai 2010

08 July, 2010

AGAR ENGKAU TAHU



Hendak kutulis di air
nanti dihanyut riak dan alun
tentu tidak sempat dibaca
dan engkau tidak akan tahu
betapa rusuh hatiku.

Hendak kulukis di awan
nanti dibawa angin
tentu tidak dapat menyapa
dan engkau tidak akan tahu
betapa sunyi perasaanku.

Lalu aku tiupkan pesan
pada angin dan pada hujan
yang mengelus wajahmu
dan merenjis tubuhmu
agar engkau tahu
siapa aku
dan bagaimana aku.

- Julai 2010

05 July, 2010

SASARAN KASIH

02 July, 2010

SEPI SEORANG LELAKI



Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia bersendiri dalam serba serbi
juga bukan kerana tiada kawan,
seorang lelaki itu
perlukan lebih dari seorang teman
buat meluahkan secebis perasaan
kerana seorang yang bernama lelaki
sudah lali tidak berteman
sudah biasa bersendirian.

Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia tidak dapat lagi berewang-rewang
menyusuri pekan dan pasar malam
ke kedai kopi membuka sembang
membawa anak berdarmawisata di kota dan pantai
seorang lelaki itu
perlukan lebih dari segala kegembiraan
bagi melunaskan kehidupan yang tinggal sedikit
kerana seorang yang bernama lelaki
sudah lali dengan kesunyian
sudah biasa bersendirian.

Seorang lelaki terasa sepi
kerana ia adalah lelaki
berwatak hakiki dan naluri semulajadi
memerlukan seorang perempuan
bernama isteri
tempat mencurah rasa hati
teman berbicara setiap hari
sementara menanti waktu ia dibawa pergi.
-JULAI 2010

01 July, 2010

DALAM USIA BEGINI



Dalam usia begini
apa lagi yang aku cari
selain
menjadi seorang aku
walaupun bukan siapa-siapa.

Dalam usia begini
apa lagi yang aku cari
selain
rindu dalam setia
terang dalam benar
damai dalam taat
khusyuk dalam sujud
syukur dalam nikmat
insaf dalam iman.

Dalam usia begini
tiada apa lagi yang kupinta
selain menjadi seorang aku
yang sentiasa dalam keredaanMu.
-Julai 2010


 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template