29 May, 2010

MASALAH NEGARA


Saban hari
masih lagi bising-bising
bicara tentang lesen guru
bicara tentang celupar anak Samy
bicara tentang kurang ajar Vell Paari
orang masih juga buat demo dan hantar memo
bantah lesen judi.

Kerajaan masih bisu
kerajaan tetap bisu.

Kerajaan masih diam
judi belum juga haram-haram
judi bola mesti laku
kerajaan dapat wang
rakyat dapat dosa
pilih pemimpin cinta dan gila judi.

Bukankah guru sudah ada Buku Biru?
Masih bukan lesen setiap tahun permit diperbaharui?
Hari-hari masuk darjah kilik buku
murid panggil cikgu
keluar pekan semua tegur cikgu
lesenlah itu.

UMNO kata
kurang ajar Vell Paari
Biadap anak Samy
apa tunggu lagi
MIC bukan aset tapi liabiliti
T. Mohan sudah bilang
MIC mahu angkat kaki
pujuk apa lagi?

- 28 Mei 2010

28 May, 2010

SEMBANG KEDAI KOPI


Hari-hari sembang kedai kopi
lain cerita tidak ada
hanya kisah tadbir negara
dari meja ke meja
Melayu bukannya ada kerja
pembantu rumah warga Indonesia
pengawal keselamatan dari Nepal atau Bangla
bahagian binaan datang dari Myanmar
kerja ladang semua dari luar.

Melayu?
Goyang kaki di kedai kopi.

Modal kopi secawan
berjam-jam sembang tolak dam
berjam-jam hilang di belakang tarik dam
petang-petang hingga malam hidu gam
lewat malam merempit di jalan
atau pecah rumah cari makan.

Melayu sudah lupa
negara ini milik siapa
pemimpin juga tidak perasan
Singapura ke dua dalam pembikinan
esok jangan bebal dan menyesal
waktu itu kita tidak lagi berdiri
sebagai tuan di negara sendiri.

- 28 Mei 2010

27 May, 2010

SEORANG INDIA BERNAMA SAMY

Apa fikir lagi Samy
duduk diam-diam, balik negeri
sudah kaya mau apa lagi
sudah pernah jadi menteri.

Pedulilah itu sama MIC
Samy bukan apa-apa rugi
undur saja biar orang lain ganti,
tunggu pun untuk apa
sama Samy orang sudah lupa
lagipun umur sudah tua
balik rumah cucu juga jaga.

Sudah basi apa tunggu lagi
diam-diam Samy tarik diri
itu baru berani
pecat orang itu ini pun buat apa
lama-lama orang tahu juga
itu Samy sudah mabuk kuasa.

Lagi setahun sama sekarang serupa juga
masa semua orang masih suka
kuasa beri pada orang muda
kita sudah tua sudah lemah minda
hari-hari nampak kubur saja.

Salahkan orang lain apa hal
duduk baik-baik, jangan cari pasal
usah jadi bebal
kuasa belum tentu kekal
sudah tukar aset jadi liabiliti
Samy juga yang rugi.

Sudahlah Samy
sekarang juga boleh berhenti
sudah kaya, pernah jadi menteri
mau apa lagi?

- 27 Mei 2010

25 May, 2010

BAHASAKU BAHASA MELAYU


Aku menjulangmu bahasa terindah
penuh budi melingkari budaya
penuh santun memartabat bangsa.

Siapa lagi selain kita
selain aku
selain sahabat
selain taulan
yang berjalan sama haluan
yang bicara sama pendapat
berarak melaung di angkasa
memekik dan menjerit
memanggil namamu
agar kembali di persada
bersimpuh jitu abadi di situ.

Marilah sekelian bangsaku
tegakkan jatidiri
berpijaklah di bumi ini
jangan ubah paksi
bahasa ibunda dituturi
dengan bangga tanpa malu
KERANA KITA ORANG MELAYU.
- Mei 2010

20 May, 2010

TENTANG HATI DAN LUKA



Hari ini bicara tentang luka
luka di tanganku
luka di hatiku
luka yang nyata di mata
luka yang lenyap di kalbu.

Luka di tangan nampak di mata
luka di jari ternampak nyata
luka di hati tiada yang tahu
luka di jiwa tiada yang perasan.

Hari ini bicara tentang hati
hendak diberi kepada siapa
siapa hendak disandar harapan
siapa yang sudi
siapa yang sepi.

Hari ini bicara tentang hati
yang tidak boleh dibeli
yang semakin dihimpit sunyi
dan harta bukan taruhan
hati tetap hati
tiada siapa mengerti
tetap sendiri.

- Mei 2010

19 May, 2010

GURU


Bicara hari ini
tentang guru
jasanya tidak terkira
kasihnya tidak bertepi
tugasnya tidak pernah berhenti.

Bicara hari ini
tentang guru
yang kecundang dalam pengembaraan
perjalanan meragut kehidupan
yang parah melayan kerakusan
dan tidak pernah menyusuri syukur.

Bicara hari ini
tentang guru
bakal diulit insentif dan hadiah
menghitung NKRA dan prestasi berganda.

Bicara hari ini
tentang guru
gembira naik pangkat
gembira naik gaji
dan tentang siksa melayan situasi
beg berat
sahsiah pelajar
kerenah ibubapa
tekanan pihak atas
transfomasi pendidikan.

Bicara hari ini
adalah tentang guru
mesti fikir anjakan paradigma
mesti fikir modal dan modul
sama tidak lupa
anak-anak di rumah
isteri dan suami juga di rumah
mereka juga perlu makan
mereka juga perlu perhatian.

- Ilham Syakima
16 Mei 2010

04 May, 2010

AKU SUDAH TUA



Dalam usia senja begini
dengan petaka menghantu diri
kesayuan dan kegelapan adalah teman rapatku
kesunyian dan kesepian adalah teman muliaku
usah siapa peringatkan tentang masaku
aku semakin intim dengan teman-teman itu
sering bersamaku sepanjang waktu.

Anak-anakku tidak perlu bimbang
isteriku tidak perlu walang
mereka tahu aku ada ramai kawan
yang sentiasa setia bersamaku
siang dan malam, pagi dan petang
dalam ruang semakin menghimpit ini.

Dalam usia senja begini
aku semakin kaya dengan air mata
aku semakin disirami sebak dan hiba
dan anak-anakku semakin tidak bimbang
kerana hari sentiasa berganti malam dan siang
isteriku juga semakin jauh memandang
kerana aku akan dibawa pergi jua
tiada siapa jadi penghalang.

Dalam usia senja begini. aku
semakin rapat dengan teman sepiku
semakin intim dengan teman sepiku
semakin mesra dengan teman sunyiku
anak-anakku tidak perlu bimbang
isteriku tidak perlu walang
aku semakin serasi dengan teman-temanku
dan aku boleh hidup begini
sebelum aku dibawa pergi.

- April 2010

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template