26 May, 2020

SEJAK MENGENALIMU


Sejak mengenalimu
aku mulai tahu tentang dunia
bila pengalaman mengajar aku
bagaimana alam ini diwarnakan
mengikut kehendak hatimu.

Sejak mengenalimu

baru aku sedar bagaimana aku
tentang harga diri dan gelodak hati
bagaimana mahuku dan inginku
yang tidak terpenuhi dalam sehari.

Sejak mengenalimu

akupun tahu tentang kelangsungan hidup
tahu bagaimana harus dibawa diri
tahu tentang membaca hati
lalu memahami erti sebuah sabar.

Sejak mengenalimu

baru aku sedar dari lamunan
tentang bagaimana beroleh sebuah jaya
bukanlah semudah melafazkannya
perlukan ketabahan dan juga kesabaran.

Aku tahu semuanya

sejak aku mengenalimu
aduhai bungaku!

#puisigila_300908

#titibakongyan

12 March, 2020

SAUDAGAR MIMPI



Ada serangkai mimpi
aku kumpulkan dari gumpalan lenaku
tidak terbawa hingga ke hujung tidurku
lalu mahu sahaja aku gadaikan
kepada siapa yang terlepas tidurnya
yang tidak sempat mengulit mimpi lagi.

Hari ini mahu sahaja aku paparkan
Mimpi-mimpi yang berbagai rupa
Dari rasa keriangan
Bawa ke kisah duka nestapa
Untuk jadi pilihan sesiapa
Lalu kita tetapkan harga
Setiap episod yang sempat ada.

Jika ada yang suka dan mahu
Boleh juga melihat arca dan sketsa
Mimpi-mimpi sedih merembas air mata
Ada juga episod duka nestapa
Juga cerita mimpi menguji hati berani
jadi bukti nyenyak tidur kita.

Sesungguhnya akulah saudagar mimpi
Mendambakan sesiapa yang sudi
Kita lena dan sama bermimpi
Menyelami bersama di laut duka ini
nanti kita boleh berkongsi
sedih dan gembira sama-sama kita rasai.

#puisigila_120320
#madsahak
#titibakong

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template