Showing posts with label usia tua. Show all posts
Showing posts with label usia tua. Show all posts

04 May, 2010

AKU SUDAH TUA



Dalam usia senja begini
dengan petaka menghantu diri
kesayuan dan kegelapan adalah teman rapatku
kesunyian dan kesepian adalah teman muliaku
usah siapa peringatkan tentang masaku
aku semakin intim dengan teman-teman itu
sering bersamaku sepanjang waktu.

Anak-anakku tidak perlu bimbang
isteriku tidak perlu walang
mereka tahu aku ada ramai kawan
yang sentiasa setia bersamaku
siang dan malam, pagi dan petang
dalam ruang semakin menghimpit ini.

Dalam usia senja begini
aku semakin kaya dengan air mata
aku semakin disirami sebak dan hiba
dan anak-anakku semakin tidak bimbang
kerana hari sentiasa berganti malam dan siang
isteriku juga semakin jauh memandang
kerana aku akan dibawa pergi jua
tiada siapa jadi penghalang.

Dalam usia senja begini. aku
semakin rapat dengan teman sepiku
semakin intim dengan teman sepiku
semakin mesra dengan teman sunyiku
anak-anakku tidak perlu bimbang
isteriku tidak perlu walang
aku semakin serasi dengan teman-temanku
dan aku boleh hidup begini
sebelum aku dibawa pergi.

- April 2010

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template