02 July, 2010

SEPI SEORANG LELAKI



Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia bersendiri dalam serba serbi
juga bukan kerana tiada kawan,
seorang lelaki itu
perlukan lebih dari seorang teman
buat meluahkan secebis perasaan
kerana seorang yang bernama lelaki
sudah lali tidak berteman
sudah biasa bersendirian.

Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia tidak dapat lagi berewang-rewang
menyusuri pekan dan pasar malam
ke kedai kopi membuka sembang
membawa anak berdarmawisata di kota dan pantai
seorang lelaki itu
perlukan lebih dari segala kegembiraan
bagi melunaskan kehidupan yang tinggal sedikit
kerana seorang yang bernama lelaki
sudah lali dengan kesunyian
sudah biasa bersendirian.

Seorang lelaki terasa sepi
kerana ia adalah lelaki
berwatak hakiki dan naluri semulajadi
memerlukan seorang perempuan
bernama isteri
tempat mencurah rasa hati
teman berbicara setiap hari
sementara menanti waktu ia dibawa pergi.
-JULAI 2010

0 comments:

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template