26 May, 2020

SEJAK MENGENALIMU


Sejak mengenalimu
aku mulai tahu tentang dunia
bila pengalaman mengajar aku
bagaimana alam ini diwarnakan
mengikut kehendak hatimu.

Sejak mengenalimu

baru aku sedar bagaimana aku
tentang harga diri dan gelodak hati
bagaimana mahuku dan inginku
yang tidak terpenuhi dalam sehari.

Sejak mengenalimu

akupun tahu tentang kelangsungan hidup
tahu bagaimana harus dibawa diri
tahu tentang membaca hati
lalu memahami erti sebuah sabar.

Sejak mengenalimu

baru aku sedar dari lamunan
tentang bagaimana beroleh sebuah jaya
bukanlah semudah melafazkannya
perlukan ketabahan dan juga kesabaran.

Aku tahu semuanya

sejak aku mengenalimu
aduhai bungaku!

#puisigila_300908

#titibakongyan

12 March, 2020

SAUDAGAR MIMPI



Ada serangkai mimpi
aku kumpulkan dari gumpalan lenaku
tidak terbawa hingga ke hujung tidurku
lalu mahu sahaja aku gadaikan
kepada siapa yang terlepas tidurnya
yang tidak sempat mengulit mimpi lagi.

Hari ini mahu sahaja aku paparkan
Mimpi-mimpi yang berbagai rupa
Dari rasa keriangan
Bawa ke kisah duka nestapa
Untuk jadi pilihan sesiapa
Lalu kita tetapkan harga
Setiap episod yang sempat ada.

Jika ada yang suka dan mahu
Boleh juga melihat arca dan sketsa
Mimpi-mimpi sedih merembas air mata
Ada juga episod duka nestapa
Juga cerita mimpi menguji hati berani
jadi bukti nyenyak tidur kita.

Sesungguhnya akulah saudagar mimpi
Mendambakan sesiapa yang sudi
Kita lena dan sama bermimpi
Menyelami bersama di laut duka ini
nanti kita boleh berkongsi
sedih dan gembira sama-sama kita rasai.

#puisigila_120320
#madsahak
#titibakong

01 June, 2019

BINGKISAN BUAT SI MELUR


Ingin aku bertanya si melur
dulunya ia kembang mekar di taman hati
bagimana kelopaknya kini
sesudah sekian lama
aku mandikan dengan kata-kata berbunga
dan aku hiaskan wajahnya
dengan wangi dupa kencana
sekarang bagaimana rupanya?

Ingin aku tahu tentang kuntum melur
yang dulunya ia kembang mekar di taman hati
bagaimana kini kelopaknya
yang dulu mekar dan harum
tentu masih kukuh ingatannya
tentang siapa yang selalu peduli
biarpun dari jauh sentiasa bertanya kabar.

Ingin aku dengar cerita tentang melur itu
yang dulunya ia kembang mekar di taman hati
dan ia sentiasa kirim kabar
tentang hatinya yang luka berdarah
walang pada setiap siang dan malam.

Ingin aku dengar
sesudah sekian lama ia hilang
terlindung dedaunan nestapa
dan kelopaknya janganlah gugur
melainkan di kolam hati yang begitu rindu
sejak ia disunting terhias indah
di sanggul seorang pahlawan.

- ilham syakima 
-30 Mei, 2019

08 January, 2019

ADUHAI IBUKU


Biar seteruk mana aku merasa sakit
dari bahasa dan sikapmu
tidaklah sesakit engkau melahirkan aku
biar seberat mana permintaannmu
yang pernah diluahkan padaku
tidaklah seberat dan sesusah
engkau mengandungkan aku.

Setiap letermu, aku tahu

ada rasa kasih yang tiada tepi
dan setiap airmatamu
aku tahu adalah untuk sedarkan aku
betapa sayang seorang ibu
tidak pernah padam
biar beralih zaman.

Lalu ingatlah aku

bahawa hutangku pada ibu
tidak tertebus sebanyak mana harta
ada aku ini adalah
kerana dia.

#puisigila_070119

#ilhamsyakima

23 November, 2018

HARGA DIRI


Ketika minum pagi tadi
bersendiri di pulau ini
tidak jauh dengan makammu, Mahsuri
aku terfikir tentang harga diri
masih ada nilaikah lagi?

Rupanya dalam mencari nilai

berteman hanyalah satu escapisma
tidak usah berlainan pendapat
biar selari bersama sahabat
di segenap tempat
walau hati terasa berat.

Berlainan pendapat

ertinya hilang sahabat
kita disisihkan dan bersendirian
seperti dulu kembali.

Dan akhirnya semakin hilang harga diri

nilai kita kian rendah hari ke hari
lalu buatlah keputusan
tentang hari depan.

Lalu

habiskan air dalam cawan itu dulu!

#puisigila_langkawi

#ilhamsyakima

16 March, 2018

MAKA BERKATALAH IBU



Bila berkata-kata
gunakan lidah sebaik-baiknya
jangan buat orang lain terasa
usah sampai ada hati yang luka
lebih nanti ada yang mengalirkan airmata.

Sebenarnya kita adalah dalam celaru
antara kita ada yang keliru
yang mana benar yang mana palsu
sampai berlagak sombong lupakan ibu
kita makhluk bersifat baharu
tentu kita bukannya serba tahu.

Berbicara hendaklah dengan akal
usah nanti sampai ada yang bebal
lalu berbalik kepada asal
hingga lupa di mana tinggal
lupa rupanya kita dari satu bangsal.

Ingatlah anak-anakku
biarlah kita susah dahulu
ingatlah pesan orang terdahulu
seusia ibu atau bapa kamu
sabarlah mengumpul ilmu
nanti rezeki datang ke saku
maka bahagialah hidupmu.

Mac 13/18

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template