27 April, 2009

KICAU BURUNG DI LUAR JENDELA


(i)

Burung-burung itu berdecit setiap pagi
Di ranting memandang ke dalam jendela
Kamar batu jeriji besi,
Lihat manusia-manusia itu
Dahulu mereka mengurung kita
Sekarang mereka terkurung pula.

(ii)

Kulihat burung-burung bergayutan
di luar jendela
berdecit-decit ketawa saban pagi
melihat aku terkurung di kamar batu ini
Bagaimana hendak beritahu kamu,
burung-burung.

(iii)

Sesungguhnya
Suratan mengatasi segala perancangan
Petaka tiba bukan permintaan
Ia datang dari satu kesilapan
Hingga tidak bererti kehidupan ini lagi
Hingga terasa sepi dunia ini.

(iv)

Burung-burung itu pergi
Esok pasti datang lagi
Melihat aku di balik kamar sepi
Belakang jeriji besi.

16 April, 2009

AKU MERINDUIMU

Aku merinduimu apabila
keindahan datang menyapaku
kerana hanya engkau menjadi tempatku
berkongsi kegembiraanku.

Aku amat merinduimu apabila
kekusutan datang melandaku
kerana hanya engkau menjadi tempatku
yang amat memahamiku.

Aku amat merinduimu apabila
terasa hendak menangis dan ketawa
kerana aku tahu
hanya engkau yang tahu
membuat aku gembira
dan meredakan tangisku.

Aku merinduimu
di sepanjang hidupku ini
tetapi aku amat merinduimu
ketika terbangun dari tidurku
di malam hari memikirkan
saat-saat indah antara kita
yang menjadi igauanku
sepanjang hidupku.

12 April 2009

12 April, 2009

KITAKAH SEPASANG KEKASIH ITU?


Bagaikan sepasang kekasih bertemu
Setelah dipisahkan luasnya lautan
Bagaikan sepasang kekasih
Melepas segala dendam dan rindu
Setelah perpisahan yang panjang
Tertegun terpukau pandang.

Bagaikan Adam dan Hawa
Bagaikan Rama dan Sita
Bagaikan Majnun dan Laila
Kita menombak diri terpaku
Oleh panah asmara.

Mengapa dibiarkan
Ada waktu yang memisahkan
Ada lautan yang jadi penghalang
Mari kita musnahkan waktu
Mari kita keringkan lautan
Kita menyatu dalam restu Tuhan.

Kita bertanya sendiri
Kitakah sepasang kekasih itu?
-12 April 2009

11 April, 2009

KETIKA RENYAI HUJAN




Dia ketawa dalam renyai hujan
Membiarkan pakaiannya basah
Tanpa malu dan gundah
Dalam gigil sejuk dia berterusan ketawa
Berlarian dalam dentuman prasangka
Yang terpercik di seluruh jiwanya.

Biarlah hujan membilas deritanya
Setelah teduhan mengoyak mimpinya.

Yang pasti
Hujan akan tetap berhenti
Dan dia perlu terus berlari
Menatap hari tanpa budi
Menyaksikan hari tanpa pelangi!

-09 April 09

KASIH BAGAI COKLAT




Tatkala rembang tadi
Mentari memerhati dengan jernih
Coklat pemberianmu penuh kasih
Mencair dalam rindu yang membara.

Perlahan coklat mencair dan larut
Kau kusimpan jauh ke dasar jiwaku
Jauh ke dalam hatiku
Rindu kepadamu tidak ada noktahnya
Pada setiap titik dan selekoh yang ditempuh.

Malam ini
Dalam redup noen kotamu
Aku jadi kembara dan rembulan itu
Berjanji akanmencurah sinar
Menunggu musim cinta bersemi
Pada ranjang kasih yang abadi.

- 10.02.09

JANJI KITA

Putih busanaku
tertitis merah terluka
rona ungu rindu terpenjara.

Kita sama-sama merasa
hangatnya embun pertama
setelah sebuah janji dipahat.

Katamu
kau tak akan berpaling lagi
dan tegar sebuah penantian dan janji.

Kataku
namamu tak akan terpadam
dari sudut hati paling dalam.

- 22 Februari 2009
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template