12 July, 2010

TINGGAL HANYA AKU



Engkau berlari
menekup wajahamu
membawa mimpiku bersama
menghilang di balik realiti
bahawa aku tidak lagi
mengenangkanmu
persis pernah bersamaku
melayari bahtera
yang tidak sampai
pelabuhan
dan aku meneruskan perjalanan
sendirian menuju infiniti.

- 12 Julai 2010


11 July, 2010

KALAU DAPAT AKU UNDURKAN MASA



Kenapa mesti kita sering bicara
terpecah hati dan duka yang tidak terperi
sedangkan kita tahu
memang tidak ada penghujung yang baik lagi
atau kesudahan memang telah kita jangkakan
bahawa aku harus pergi
dan kita akan mngikut jejak sendiri.

Jika dapat aku undurkan masa
pasti kita tidak berdiri di sini
berbicara tentang kepastian
dan ketidakjujuran
atau menengadah meminta simpatimu
dengan waktuku yang sedikit ini.

Dan jika aku dapat undurkan masa
aku pasti tiada di sini
merayu saban waktu
dan merusuhkan jiwaku
dengan gundah duka tidak terkira
dan pasti aku tidak bertemu dengan ranjau
yang bukan milik siapa-siapa.

Lalu apa gunanya kita berbicara
perkara yang kita sudah tahu
kesilapan dan kesalahan sememangnya milik aku
dan entah berapa kali aku menyesali
bahawa aku bukan meminta hukuman
darimu seberat ini.

Mengertilah bahawa aku bicara
dalam kedukaan dan keresahan
menanti awan menutup lelangit atas kepalaku
menutup mentari hidupku
dan pada waktu itu
aku tetap akan pergi meninggalkanmu.

-10 Julai 2010

08 July, 2010

AGAR ENGKAU TAHU



Hendak kutulis di air
nanti dihanyut riak dan alun
tentu tidak sempat dibaca
dan engkau tidak akan tahu
betapa rusuh hatiku.

Hendak kulukis di awan
nanti dibawa angin
tentu tidak dapat menyapa
dan engkau tidak akan tahu
betapa sunyi perasaanku.

Lalu aku tiupkan pesan
pada angin dan pada hujan
yang mengelus wajahmu
dan merenjis tubuhmu
agar engkau tahu
siapa aku
dan bagaimana aku.

- Julai 2010

05 July, 2010

SASARAN KASIH

02 July, 2010

SEPI SEORANG LELAKI



Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia bersendiri dalam serba serbi
juga bukan kerana tiada kawan,
seorang lelaki itu
perlukan lebih dari seorang teman
buat meluahkan secebis perasaan
kerana seorang yang bernama lelaki
sudah lali tidak berteman
sudah biasa bersendirian.

Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia tidak dapat lagi berewang-rewang
menyusuri pekan dan pasar malam
ke kedai kopi membuka sembang
membawa anak berdarmawisata di kota dan pantai
seorang lelaki itu
perlukan lebih dari segala kegembiraan
bagi melunaskan kehidupan yang tinggal sedikit
kerana seorang yang bernama lelaki
sudah lali dengan kesunyian
sudah biasa bersendirian.

Seorang lelaki terasa sepi
kerana ia adalah lelaki
berwatak hakiki dan naluri semulajadi
memerlukan seorang perempuan
bernama isteri
tempat mencurah rasa hati
teman berbicara setiap hari
sementara menanti waktu ia dibawa pergi.
-JULAI 2010

01 July, 2010

DALAM USIA BEGINI



Dalam usia begini
apa lagi yang aku cari
selain
menjadi seorang aku
walaupun bukan siapa-siapa.

Dalam usia begini
apa lagi yang aku cari
selain
rindu dalam setia
terang dalam benar
damai dalam taat
khusyuk dalam sujud
syukur dalam nikmat
insaf dalam iman.

Dalam usia begini
tiada apa lagi yang kupinta
selain menjadi seorang aku
yang sentiasa dalam keredaanMu.
-Julai 2010


 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template