Sedar-sedar hari telahpun senja
lupa apa yang dibuat sejak pagi tadi
tidak ingat bila petang dan tengahari
lalu kaku kaki mahu melangkah pergi
bisa sendi sana sini.
Bila usia senja begini
temannya adalah gelap dan sunyi
usah kenang apa berlaku di masa lalu
dan duka menjadi intim dengan diri
mana ada siapa ambil peduli.
Dalam usia senja begini
dia semakin kaya dengan air mata
semakin disirami sebak dan duka
melihat anak-anak bersengketa
tentang siapa memiliki pusaka
dan asyik bergelut mengumpul harta
lupa mereka asalnya satu keluarga.
Anak-anak sedikitpun tidak terasa walang
dan hari tetap berganti malam dan siang
mereka lupa dia yang sedang berduka
anak lupa bahawa inilah ibu mereka
yang akan membawa mereka ke syurga.
Sedarlah
dia akan dibawa pergi juga
senja ini pasti berakhir
malam pasti hadir.
(untuk ibu tercinta)
0 comments:
Post a Comment