30 December, 2017

SELAMAT TINGGAL


Dia akan pergi
sesudah semusim menyulam budi
selepas sekian lama berbakti
selamat pergi 2017 yang tinggal sehari lagi
perahupun sudah menati
pergilah bawa hati dan jaga peribadi
pergi lah melayan hati.

Pasti 2018 akan datang mengganti
dan kita tetap juga begini
tetap di sini menabur budi dan menyumbang bakti
tetap di sini menggadai peribadi
mengumpul harta dan melangir budi.

Anak-anak masih dibuai mimpi
masing-masing belum bingkas berdiri
semua kemahuan sudah disaji
tetulah tidak lagi susahkan diri.

Aduhai!
Sedarlah diri dari mimpi
waktu hanya tinggal sedikit lagi
setahun pula nanti pergi
kita takkan tetap seperti ini?


#30disember17

27 December, 2017

PADA SENJA INI


Sedar-sedar hari telahpun senja
lupa apa yang dibuat sejak pagi tadi
tidak ingat bila petang dan tengahari
lalu kaku kaki mahu melangkah pergi
bisa sendi sana sini.


Bila usia senja begini
temannya adalah gelap dan sunyi
usah kenang apa berlaku di masa lalu
dan duka menjadi intim dengan diri
mana ada siapa ambil peduli.


Dalam usia senja begini
dia semakin kaya dengan air mata
semakin disirami sebak dan duka
melihat anak-anak bersengketa
tentang siapa memiliki pusaka
dan asyik bergelut mengumpul harta
lupa mereka asalnya satu keluarga.


Anak-anak sedikitpun tidak terasa walang
dan hari tetap berganti malam dan siang
mereka lupa dia yang sedang berduka
anak lupa bahawa inilah ibu mereka
yang akan membawa mereka ke syurga.


Sedarlah
dia akan dibawa pergi juga
senja ini pasti berakhir
malam pasti hadir.

(untuk ibu tercinta)

21 December, 2017

EMAK


Melihat emak terbujur di situ
ada sayu ada pilu
betapa tidak ada sesiapa ambil tahu
sakitkah dia, sudah makan atau masih menunggu
menanti siapa-siapa lalu
untuk menjamah nasi dan kuah sesudu.

Emak
terasa berat kaki ini mahu melangkah
terasa sebak dada ini merafak sembah
anak-anak seorangpun tidak singgah
masing-masing mengira wang dan upah
biarpun ada anak sebelah rumah
mereka tidak peduli dan emak tetap susah.

Melihat emak di situ
walaupun tempat itu di rumahku
aku jadi sayu dan terharu
kenapa biarkan terlalu lama masa berlalu
baru sekarang teringat mahu membantu.

Ketahuilah aduhai  emak
bahawa meninggalkanmu langsung tidak tergamak
cuma apa yang aku buat tiada yang nampak
lalu aku sering dihina dan ditempelak
sebenarnya aku langsung tidak tergamak
membuang dan menyisihkan emak.


-          Disember 2017 

20 December, 2017

SENDIRIAN LAGI


Sendirian lagi
buat sekian kali
ketika sedang menemui hakiki
dan lari dari realiti.

Umpama voganvillea di lantai

misteri masih tidak terungkai
sehingga badan dan nyawa bercerai
dan segala hutang piutang kita selesai.

Sendiri lagi di halaman

mengutip segala kenangan
mengumpul semua sisa perjuangan
biarlah siapapun tidak ditinggalkan.

Biar mereka pergi

dan tinggalkan kepingan kaca di sini
dan biarlah luka di kaki
usah siapapun peduli.

- Ilham Syakima
   Nov 2017
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template