05 February, 2009

NAKHODA SEBUAH BAHTERA


Kita ini di sebuah bahtera
bila sampai masa
kalender usia lebih lima tahun
setengah abad lamanya
kita terpaksa memilih haluan baru
meninggalkan jagat samudera
meninggalkan bahtera.

di bahtera ini
sering juga kita resah tatkala berpisah
warga yang merasa
umpama keluarga, umpama saudara
mereka sentiasa bersama kita
biarpun di luar sana banyak menjaja
wang ringgit dan harta benda.

Tuan nakhoda yang dirai
terima kasih dari ikhlas jiwa
titipkan pesan dan pedoman
lontarkan bimbang dan resah
tatkala mahu melangkah pergi
selepas 10 musim silih berganti
mengemudi bahtera pusaka abadi.

Bahtera ini banyak Ceritera benarnya
masih ingat tragedi gelombang kuasa?
Bahana lebih dahsyat gelora samudera
nakhoda pergi, nakhoda berganti.

Tatkala tuan duduk di sini
ribut besar ombak melanda
dan gelora lain juga mencuba
hingga bahtera hampir bertukar nama
bertukar empunya, bertukar haluan
syukur tuan bersama kami
terus mengemudi bahtera bangsa
yang diwariskan para syuhada.

Tuan,
terima kasih sekali lagi
membawa kami menyusuri
sungai bahagia, lembah yang kaya
kami tak lupa pesan tuan
kemegahan lalu kebanggaan kita
menggapai gemilang hari depan
perjuangan bersama.

-KU SEMAN KU HUSSAIN
(29 Julai 08)

0 comments:

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template