06 February, 2009

SAAT BERDUKA

Kegembiraan itu membunuhku
aku mengharungi detik dan ranjau itu
menyelami pahit duka itu
tanpa ditemani kisah yang berlalu.

Jatuh berderai kisah yang aku ratapi
ke dalam gunung keresahan
menangis tidak berlagu
sepi duka sampai ke petang.

Matahari itu semakin pudar
hilang semua kegembiraan
ditelan keglapan malam
tiada lagi sinaran yang aku nantikan
hanya kabus menyelubungi diriku.

-SAADIAH HAMZAH
SMK. Mudzafar Shah,
Semanggol, Perak.
(09.02.09)

05 February, 2009

DEDAUN KERESAHAN


Dan musim luruh bertandang
dedaun gundah berguguran
hiujau pepohon menjadi kekuningan
di teduhan pokok aku sendirian
menemani resah di negeri orang
nasib sendiri di ibu pertiwi.

Sirna mentari di musim luruh
berganti hembusan angina sepoi
jati diri bangsaku mula jatuh
leka berkhayal asyik didodoi.

Jatuh dedaun ke bumi
punya tempat untuk berpijak
sedang bangsaku hanya menang sorak
hingga warisan ditukar, dipajak
jati diri hilang jejak.

Aku di negeri orang
tatkala dedaun dalam genggaman
resah dan gundahsama bertandang
khuatir apa yang aku tinggalkan?

Jejak-jejak tauladan
atau hilang tiada pesan
dibayangi debu yang keliru
jalan mana yang perlu dituju?.

Globalisasi tak menunggu masa
atau warisan yangpantas dimamah zaman?
Seakan musim yang silih berganti
seperti itu kita mencari identiti.


KAIRULIDHAM IMAIL,
MOSCOW, RUSSIA
(10 Ogos, 2008)

NAKHODA SEBUAH BAHTERA


Kita ini di sebuah bahtera
bila sampai masa
kalender usia lebih lima tahun
setengah abad lamanya
kita terpaksa memilih haluan baru
meninggalkan jagat samudera
meninggalkan bahtera.

di bahtera ini
sering juga kita resah tatkala berpisah
warga yang merasa
umpama keluarga, umpama saudara
mereka sentiasa bersama kita
biarpun di luar sana banyak menjaja
wang ringgit dan harta benda.

Tuan nakhoda yang dirai
terima kasih dari ikhlas jiwa
titipkan pesan dan pedoman
lontarkan bimbang dan resah
tatkala mahu melangkah pergi
selepas 10 musim silih berganti
mengemudi bahtera pusaka abadi.

Bahtera ini banyak Ceritera benarnya
masih ingat tragedi gelombang kuasa?
Bahana lebih dahsyat gelora samudera
nakhoda pergi, nakhoda berganti.

Tatkala tuan duduk di sini
ribut besar ombak melanda
dan gelora lain juga mencuba
hingga bahtera hampir bertukar nama
bertukar empunya, bertukar haluan
syukur tuan bersama kami
terus mengemudi bahtera bangsa
yang diwariskan para syuhada.

Tuan,
terima kasih sekali lagi
membawa kami menyusuri
sungai bahagia, lembah yang kaya
kami tak lupa pesan tuan
kemegahan lalu kebanggaan kita
menggapai gemilang hari depan
perjuangan bersama.

-KU SEMAN KU HUSSAIN
(29 Julai 08)

01 February, 2009

PUISI BUAT SEKUNTUM BUNGA



Pagi ini
kubuka jendela
dan kau sekuntum bunga
mekar direnijis embun
menguntum senyum buatku.

Tetaplah kembang segar
kerana esok saat kubuka jendela lagi
kelopakmu masih bisa
tersenyum buatku.


-Muhamad Faisal Kalantani,
Kuala Krai.

INGINKAH KAU LIHAT?

Inginkah kau
lihat negeri ini terus membusuk?
Ketika sesama pemimpin saling
melemparkan tuding
dan atas nama demokrasi
fiksi demi fiksi dicipta
oleh si bijak politik
untuk membunuh dan melenyapkan lawan.

Atas nama kaum dan bangsa
berduyun para pemabuk
menjunjung bangga dan pura
mempermainkan kebingungan jelata.

Inginkah kau
melihat negeri ini terus membusuk
dan merelakan politikus mabuk
berlagak cerdik dan sibuk
memaksa jelata hanyut dan sesat
di tengah kabut?


Marsli N. O.
Kuantan.
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template