17 November, 2009

ENGKAUKAH ITU

Engkaukah yang menggamit itu
Lentik jemarimu mengeluskan rindu
Sekian lama terhakis oleh masa
Kehilangan istana indah dahulu.

Engkaukah yang mengetuk pintu
Hatiku hampir terbuka
Jemariku cuba menggapai angin
Menyentuhmu dengan ceritera pedih
Kehilangan istana indah dahulu.

Engkaukah yang memanggil
Tersedar aku bahawa hari telah siang
bahawa hidup perlu terus dijalani
Dengan luka kenangan
Dan seorang aku sedar dari lamunan
Bahawa pintu hati harus terbuka
Menghambat pergi kenangan
Menghalau jauh sejarah
Kehilangan istana indah dahulu.

16 November, 2009

TUHANKU

Tuhan
aku ingin sentiasa di pangkuanMu
namun aku sering derhaka
dan telah melakukan dosa.

Tuhan
Ampunilah aku
teguh hatiku mendambakan keampunanMu
dan aku akan sentiasa mencintaiMu
biarpun sudah pasti
aku tidak layak menjadi kekasihMu
namun aku masih
menaruh harapan dan mimpi
kepingin sentiasa bersamaMu
mewrasai kasihMu
menikmati cintaMu.


- MAi, Selangor (Tagged 09)

08 November, 2009

PENJARA HATI


Adakah kata-kata yang lebih indah
menyatakan kekusutan hatiku
menunggu penentuan dan hakikat
akal tak tercapai fikir
mengapa ia perlu terjadi
menghiasi kehidupan murniku
yang tercalar dan berdarah.

Diri tidak tertanggung lagi
harapan tidak menggunung lagi
kecamuk jiwa dan celaru hatiku
penantian yang lama
entah sampai bila
di mana garis penamatnya.

Hari inipun seperti dipenjarakan
tanpa jeriji tanpa besi
hanya maruah memisahkan
dunia yang indah satu ketika dulu
lemparkan diriku jauh ke lubuk
kehinaan dan luka maha pedih.

- ILHAM SYAKIMA
- November 2009

30 October, 2009

DATANG DAN PULANG

Kedatanganku semalam
harapkan terubat hatiku
yang telah lama mengarak luka
yang sekian kali mengandam duka
semoga dapat mewarna semula
kanvas hidup yang telah lama
tiada yang peduli.

Tiba di sini
gundah hati semakin payah
kanvas pudar dan calar
permaidani tiada warna lagi
kasih tanpa abadi.

Kepulanganku sekarang
mengendong luka
yang semakin panjang
merobek ingatan dan kenangan
rentak hatiku semakin lantang
mengarak duka yang enggan pulang
dan sengketa tidak pernah jemu
menyapa kita setiap kali bertemu.

-Ilham Syakima

Oktober 2009

25 October, 2009

KAMI TIDAK PEDULI

Kami sedikitpun tidak peduli
tetapi kami memerhati
bagaimana engkau lakukan
untuk bersihkan rumahmu sendiri
yang penuh dengan sampah
bernama rasuah
seperti yang dipahatkan sebagai janji
bila dinobatkan di singgahsana.

Kami sedikitpun tidak peduli
tetapi kami memerhati
apa engkau lakukan
kepada anak-anakmu yang nakal
selalu sombong dan angkuh
menconteng dinding melukis alam
mengguris bumi dan mengecat langit.

Kami sedikitpun tidak peduli
tetapi kami memerhati
berapa banyak wang
engkau agihkan kepada kami
dan anak-anakmu
dan jiran-jiranmu
asalkan adil dan samarata
kami mendapatnya.

Kami hanya mahu
rumahmu bersih
dari semua sampah dan kotoran
licin lantainya tiada calar dindingnya
nanti setiap kali kami bertandang
dapat minum dengan aman
dapat makan dengan sopan.


- Oktober 2009

21 October, 2009

DAPATKAH KITA.....


Dapatkah kita melupakan
sejarah kehidupan
yang dilakar dengan kepahitan
ketika rindu semakin menebal
ketika ingatan terlalu kental?

Dapatkah kita lari
meninggalkan keakraban
yang kita lakar dalam sinaran
setelah terlalu lama mengharungi
sungai kerikil dan jalan berduri?

Dapatkah kita menuju ke pintu itu
bernama perpisahan; sedangkan
kita masih sekian kali
memintal pelangi di langit
menyinari tunjang kasih
ke akhir perjalanan ini?

Dapatkah kita
menghrungi kehidupan selepas ini
masing-masing membawa hati
yang calar dan luka
menuju persinggahan abadi?

Dapatkah kita?
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template