09 April, 2009

KEMBARA ABAD INI



Manusia itupun menerobos hutan kota
Menyusun langkah dan jejak
Dari blok ke blok
Sambil memikul minda
Impian dan peribadinya.

Dalam hutan konkrit ini

Dia telah melepaskan mindanya
Meniti mimpi ke mimpi
Mengumpul manusiawi dan maknawi
Dalam terang, gelap dan samar
Degup dugaan bergempa dalam dada
Gegar godaan meracau jiwa.

Manusia itu terus memasuki kamar kota

Mencari makna demi makna
Meneroka ceritera dan peristiwa
Yang tidak pernah ada dalam album jiwa
Lalu mengikat kudrat
Menempuh perburuan
Melanggar sempadan
Yang membataskan kelazimannya
Kini segalanya telah bersilang.

Tali yang mengikat sanubarinya

Terlonggar sudah
Sedang kakinya terus melangkah
Ke kamar-kamar kota
Tanpa restu yang hak dari-Nya.

HEMBUSAN BAYU




Hembusan bayu dari gunung
turun menyusuri bumi
dalam celahan pohon-pohon kenangan
mendesir ke dada laut harapan
menyapa kampung dan lamanku
dalam laluan menuju hening senja
sementara menunggu malam.

Seperti diriku juga
menanti datangnya noktah bicara
tentang kasih yang abadi.


-April 09, 09

08 April, 2009

TUHANKU, TUNJUKKAN PADAKU



Tunjukkan kepadaku, Tuhan
Jalan yang harus aku lalui
Meniti hari dalam mimpi dan fantasi
Menoktahkan hidupku nanti
Sebagai insan yang mengerti
Kehidupan yang hakiki.

Tunjukkan kepadaku, Tuhanku

Satu manifestasi kebahagiaan dan kejujuran
Yang saling mengasihi
Bersama menghadapi badai dan duri
Sesama kami bernama satu famili.

Tunjukkan kepadaku,Tuhanku

Jalan yang harus aku lalui
Sekian lama menanti sinar
Menyuluh pandanganku ke hadapan
melihat kebenaran.

Tunjukkan kepadaku, Tuhanku

Bagaimana mengatasi penghinaan ini
Sesudah tidak punya apa-apa
Dan hilang segala-galanya
Diri amat kerdil dan hina.

Tunjukkanlah kepadaku

Sebelum keputusanku melulu
Wahai Tuhanku!


-08.03.09

06 April, 2009

RINTIK MALAM


Kucuba memahami
segala sesuatu yang terbuku
dan yang terang di hatimu.

Seolah rintik malam
yang menimpa bumi
dalam kelam.

Kudengar rintiknya
melalui mata hati
biarpun kabur dalam pananan
kurasa gugurnya
ke kolam perasaan.

sesekali rintik jelas kelihatan
disinari cahaya
purnama kerinduan.

-April 5, 2009

AMAT BERBEZA


Langkah ke dalam pohon-pohon konkrit kota
menyusahkan minda
menerima kenangan silam
kali pertama dahulu menyusur di sini
sekarang menjadi kota batu berdiri.

Di mana pohon ceri dulu tempat bas berhenti?
Toong Fong , Foh Hup lalu di sini
hari ini tiada lagi pohon ceri
Puduraya tersergam megah
lokasi pelahap duniawi
menipu manusia naif yang tidak mengerti.

Di mana Jalan Silang?
Mana 'Benteng' di Jalan Melaka?
sudah tiada
tetapi Sungai Klang masih mengalir lesu
walau berwajah baru.
Jalan Masjid India
kenangan di situ terpahat di hati
sekarang bukan macam dulu lagi
susah untuk berjalan kaki.

Kota ini telah menjadi semakin matang
penuh dengan manusia temberang
lampu trafik menjadi penghalang
ribuan manusia lalu lalang.

Kota ini 40 tahun dahulu
tempatku bermain dan berlari
dari Cheras 16 sen
berjalan kaki ke Chow Kit tanpa risau
jalan TAR kecil tiada orang
rakyat Melayu masih berniaga
sekarang diganti dengan Indon dan Bangla.

01 April, 2009

CATATAN BUAT SAHABATKU

Sahabatku
Bila rasa ingin menangis
Hubungilah aku
Bukan untuk menyuruhmu berhenti menangis
Tapi mungkin aku bias menangis denganmu
Tetapi Cuma sekejap saja
Nanti kering air mataku.

Sahabatku
Jika terasa hendak melarikan diri
Jauh dari kemelut yang melanda hati
Hubungilah aku
Aku tidak akan menyuruhmu berhenti
Tetapi mungki aku akan bersamamu berlari
Agar selesai masalahmu
Tetapi jangan terlalu laju
Aku tidak kuat berlari
Kerana terlalu singkat nafasku.

Sahabatku
Jika kau kecewa keluargamu tidak bahagia
Beritahulah aku
Aku tak akan buat kau membenci mereka
Tetapi mengajarmu menerima takdir.

Sahabatku
Jika kau kecewa dengan hubunganmu
Ceritalah padaku
Aku tidak akan berkata apa-apa tentang dia
Tetapi akan mengajarmu berubah
Supaya dia menyukaimu kembali.

Tetapi jika satu hari aku berdiam diri
Tidak membalas tegurmu
Tidak menjawab panggilanmu
Carilah segera akan daku
Mungkin waktu itu aku amat memerlukanmu
Atau aku sudahpun kaku.
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template