12 May, 2009

SUARA HATI

Kalau mendengar suara hati ini
Kematian adalah pasti
Segera ambil nyawaku
Hentikan degup jantung
Derita tidak tertanggung.

Kalau mendengar suara hati ini
Aku pergi jauh dari sini
Membawa kedukaan
yang amat pedih ini
membawa nestapa yang tidak terperi.

Kalau dengar suara hati
Mahu aku mati hari ini
Lupakan segala sengsara ini.

10 May, 2009

RUMAH TERCANTIK KAMI

Dulu, itulah rumah tercantik kami
Singgahsana bonda
Mahligai ayahanda
Istana kami sekeluarga
Dipenuhi bunga-bungaan
Mekar setaman kasih sayang.

Setelah bencana menimpa
Atas makna sikap mahagila
Bunga-bungaan kian layu dan gugur
Tumbuhan semakin condong dan tumbang
Rumah tidak indah lagi
Seperti dulu-dulu.


Setelah ketiadaan harmoni keluarga
Kami juga turut berpergian
Lalang tumbuh memenuhi laman
Bumbung dan dinding gugur dan lekang
Rumah pusaka dipanjat usang
Hilang pesona walau dihias
Pelangi petang.

08 May, 2009

SAAT SEBELUM PERGI


Saat sebelum pergi, mata kita
aku dan kau bertembung di pandangan
resah rindu luruh
bayang pun terhapus, senyum itu
seperti hadir dalam mimpiku.

Mawar, maaf kerana ku curi
wajahmu di hatiku tadi
tanpa izin
kulampirkan pada layar ingatan
kujadikan bingkai kenangan
di bucu kristal bernama cinta
kau ada di situ.

Saat sebelum pergi
aku mengiringmu dengan kiasan
dan di sudut itu kau menghilang
kucari-cari, kau tetap ada di sini
di sudut ingatanku, di dalam jiwaku
kerana kau kekasihku.

05 May, 2009

AKU MASIH HIDUP


Tersedar pagi ini
Aku masih hidup lagi
Tuhan belum ambil nyawaku
Walau berkali-kali aku merayu meminta
Matikan aku.

Bangun pagi ini
Aku masih bernafas lagi
Menyambung cerita luka dan duka
Mahu aku tanggung derita ini
Atas perlakuanku yang dungu dan gila
Menghadap petaka yang celaka.

Terjaga pagi ini
Nadiku masih berdenyut lagi
Sederas degup jantungku
Sekencang debar dadaku
Setiap kali mengenang dan meneka
Apa akan terjadi selepas ini.

Ketika aku berharap tidak akan bangun lagi
Esoknya tiada nadi lagi
Tuhan masih mahu
Aku tanggung derita ini
Berikan peluang sekali lagi
Membaiki kehidupan yang telah musnah
Kembali kepada fitrah.
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template