21 December, 2017

EMAK


Melihat emak terbujur di situ
ada sayu ada pilu
betapa tidak ada sesiapa ambil tahu
sakitkah dia, sudah makan atau masih menunggu
menanti siapa-siapa lalu
untuk menjamah nasi dan kuah sesudu.

Emak
terasa berat kaki ini mahu melangkah
terasa sebak dada ini merafak sembah
anak-anak seorangpun tidak singgah
masing-masing mengira wang dan upah
biarpun ada anak sebelah rumah
mereka tidak peduli dan emak tetap susah.

Melihat emak di situ
walaupun tempat itu di rumahku
aku jadi sayu dan terharu
kenapa biarkan terlalu lama masa berlalu
baru sekarang teringat mahu membantu.

Ketahuilah aduhai  emak
bahawa meninggalkanmu langsung tidak tergamak
cuma apa yang aku buat tiada yang nampak
lalu aku sering dihina dan ditempelak
sebenarnya aku langsung tidak tergamak
membuang dan menyisihkan emak.


-          Disember 2017 

20 December, 2017

SENDIRIAN LAGI


Sendirian lagi
buat sekian kali
ketika sedang menemui hakiki
dan lari dari realiti.

Umpama voganvillea di lantai

misteri masih tidak terungkai
sehingga badan dan nyawa bercerai
dan segala hutang piutang kita selesai.

Sendiri lagi di halaman

mengutip segala kenangan
mengumpul semua sisa perjuangan
biarlah siapapun tidak ditinggalkan.

Biar mereka pergi

dan tinggalkan kepingan kaca di sini
dan biarlah luka di kaki
usah siapapun peduli.

- Ilham Syakima
   Nov 2017

19 September, 2016

MAWAR KEKASIHKU


Mawarku!
Sesekali singgahlah di kamar ini
lihatlah serpihan-serpihan hati
bak kaca yang terhempas
dan luangkan masamu
mengutip segala kenangan lalu
dan kamar ini biar bersih kembali.

-Ilham Syakima 2016

17 September, 2016

RINTIHAN

Pernahkah terfikir
atau rasa teringin di hati
melewati kamar hatiku yang dingin
yang pintunya aku buka sudah sekian lama?

Dapat kamu melihat
betapa semaknya kamar hati itu
penuh dengan serpihan kaca
dan limpahan air mata
yang entah bila akan berhenti.

dapatlah nanti kamu cantumkan kembali
kaca hati yang pecah
dan bersihkan semula darah
dari parut luka yang semakin parah.

Datanglah!

sept.2016

17 June, 2016

PENCARIAN


Waktu memang ada
demi mencari hakiki 
bina diri dan peribadi
kita pasti pergi.

06 February, 2016

BICARA POLITIK DI KEDAI KOPI

Semua diucapkan selamat pagi
apa kabar hari ini
kita sudah tukar embi
tapi kita tetap santai di sini
nak macam mana lagi?

Biar mereka ganti berapapun embi
kita tetap tebar roti canai di sini
tetap juga makan dua biji.

Yang bawa lori teruskan kerja bawa lori
yang bawa teksi itu juga kerja setiap hari
nak minta kurang gst
nanti tukar pula embi
sudahnya mereka jadi huru-hara lagi
sedang kita memang sudah lali.

Belajarpun tak perlu tinggi-tinggi
ada SRP pun boleh jadi menteri
yang ada ijazah dan diploma biar jadi kuli
sori, jangan ambil hati.

- Ilham Syakima
   040216

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template