Showing posts with label lelaki. Show all posts
Showing posts with label lelaki. Show all posts

13 February, 2011

SEPI SEORANG LELAKI 2




Seorang lelaki menjadi sepi

bukan kerana ia sendirian tidak berteman
tetapi ia tidak dapat lagi bermimpi
tentang masalalu dan masa depan,
dia sudah betah sendirian
dia sudah lali dipersendakan
dia letih berbicara hanya dengan diri
tidak siapa mendengar bisikannya
tentang realiti dan mimpi.


Seorang lelaki itu menjadi sepi
bila tidak dirindui ketika berjauhan
tidak diingati dalam kenangan
tidak dipedulikan semasa berdekatan.

Seorang lelaki menjadi sepi
bila kasih sayang telah hilang
bertukar menjadi belas kasihan
bila rasa cinta yang sekian lama menggunung
berubah menjadi api amarah
dan berbicara hanya menjadi satu perintah.

13 Februari 2011

13 January, 2010

LELAKI BAIK
















Tiada sesumpah merayap di hati wangi bicara,
semerbak menggigit keakraban tajam akal,
renung dikupas sebijaknya
dijamah untuk ramuan peribadi.

Lelaki baik,
dijiwanya ada setanggi susila
perempuan disanjung seibui-ibunya,
tinggi martabat di singgahsana,
sesekali tidak dilukai
perempuan ditadah sesuri-surinya
maruah terletak di puncak kehormatan
tidak akan dinodai.

Berhati-hati langkah
lelaki menyusul tertib budaya
alam sindir ada senyum
dalam tepis ada karib
tidaklah yang baik itu mengintai salah
pada kawan atau lawan
di dadanya ada Keagungan ditakuti
termaktub mah-kamah-syar yang mengadili.

Kalau engkaulah lelaki itu,
satu-satu dalam ratusan ribu
hayat dalam naungan ibu
usia dalam kerinduan isteri
obor yang melorongi laluan anak.

Sungkai, Perak.
3 januari 2010
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template