18 June, 2010

INGAT PADA JANJI



Janjiku pada mentari
akan membenam bersamanya
setiap senja di ufuk
dan lembayung sentiasa menggamit
mamanggilku
muncul di esok hari
dengan senyum dan tangis
sebagaimana mula dulu
pasti tidak mengalah
kepada dunia
kepada pancarobanya.
- Jun, 2010

API KEINSAFAN




12 June, 2010

JURANG ANTARA KITA


Yang sebenarnya
antara kita hanya ada satu jurang
kerana aku berbicara bahasa lelaki
dan menari irama lelaki
sedang engkau berbicara bahasa perempuan
dan menari irama perempuan.

Lalu hanya kerana itu
kita menjadi terasing
seperti tidak pernah mengenali
entah bila akan bersatu.

Kecuali jika kita sama-sama korbankan
sombong seorang perempuan
dan ego seorang lelaki.

Dan kitapun berbicara satu bahasa
menari satu irama
bahasa dan irama cinta.

- Jun 2010

08 June, 2010

CAHAYA KEBENARAN


Benarkah
cahaya itu akan datang juga
walau terlindung bayang duniawi
dan aku terdampar di tiang naluri
mencari bahagia bawa mati
mencari riang mencari ceria
memakamkan segala duka
menikam segala sengsara
dan engkaulah segalanya.

05 June, 2010

SEBELUM AKU DIBAWA PERGI

Sebelum aku diasingkan jauh darimu
aku pohon menjadi lelakimu
buat kali terakhir
yang sudah pasti aku
tidak mengganggumu lagi selepas ini
apabila aku dibawa pergi.

Sebelum aku diasingkan jauh darimu
aku pohon kasih sayangmu
buat kali terakhir
seperti kasih yang lalu
yang sudah pasti aku
tidak mendapatnya lagi selepas ini
apabila aku dibawa pergi.

Sebelum aku diasingkan jauh darimu
aku pohon buat terakhir kali
menjadi kekasihku seperti dahulu
kerana selepas ini engkau akan bebas
berbuat apa saja tanpa aku
dan bayang-bayangku
apabila aku dibawa pergi.

Walau apapun kesilapanku
aku pohon buat terakhir kali
jadilah seperti biasa
biar aku tetap seorang lelaki
sebelum aku dibawa pergi.

- Jun 2010

04 June, 2010

IZINKAN AKU

Izinkan aku buat terakhir kali
menjadi seorang lelaki
yang berani dan dihargai
sebelum kita dipisahkan
oleh dosaku yang tidak terfikirkan.

Izinkan aku buat terakhir kali
menjadi seorang suami hakiki
memegang kemudi rumahtangga
berbicara sebagai seorang ketua
sebelum kita dipisahkan
oleh petaka yang aku ciptakan
tanpa sedarku.

Izinkan aku buat terakhir kali
menjadi seorang bapa
memegang kunci ketua keluarga
berbicara tentang nasihat dan petua
lima anakku bisa mendengarnya
sebelum kita dipisahkan
oleh hukuman dunia.

Izinkan aku buat terakhir kali
memohon maaf berjuta
kepada semua
atas dosa yang tidak terampun
atas celaka diri tidak terkira
sebelum kita dipisahkan.
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template