Pagi tidak bernadi di bumi Gaza
bangku kosong lagi di bilik darjah
guru seorang demi seorang gugur
buku bertabur, nota dan anak kecil lebur.
Kerana Israel pantas mencatat
kaki dan tangan penulisku kau ikat
kau abadikan sendiri bangsamu bangsat.
Petang tidak bernafas di bumi Gaza
dapur runtuh roti rentung di mulut malam
merah hujan darah mengalir di laman dunia.
Kerana Hamas tahu membeza
Israel hamiskan tubuh Gaza
Israel siat-siatkan seluruh Gaza.
Liku dan simpang tidak semestinya jalan
ruang terbentang seakan terowong rahsia
si pengkhianat memagar lebuhraya
si laknat memugar luluh nyawa.
Kerana kononnya kau keliru
kau ludah Gaza dengan peluru
kau muntahkan bom setiap penjuru
kerana penyokongmu terlalu ghairah
pantas kepalanya kau langkah
sebagai hadiah kau serahkan serakah.
Kerana bumimu bernama Palestin
ada racun di zahir ada penawar di batin
kerana Israel wargamu mencipta
mahalnya bahagia murahnya derita.
-Abdul Hadi Yusof
Kota Bharu.
fateha-anggun
8 years ago