16 March, 2018

MAKA BERKATALAH IBU



Bila berkata-kata
gunakan lidah sebaik-baiknya
jangan buat orang lain terasa
usah sampai ada hati yang luka
lebih nanti ada yang mengalirkan airmata.

Sebenarnya kita adalah dalam celaru
antara kita ada yang keliru
yang mana benar yang mana palsu
sampai berlagak sombong lupakan ibu
kita makhluk bersifat baharu
tentu kita bukannya serba tahu.

Berbicara hendaklah dengan akal
usah nanti sampai ada yang bebal
lalu berbalik kepada asal
hingga lupa di mana tinggal
lupa rupanya kita dari satu bangsal.

Ingatlah anak-anakku
biarlah kita susah dahulu
ingatlah pesan orang terdahulu
seusia ibu atau bapa kamu
sabarlah mengumpul ilmu
nanti rezeki datang ke saku
maka bahagialah hidupmu.

Mac 13/18

13 March, 2018

NUKILAN UNTUK SAHABAT




NUKILAN UNTUK SAHABAT
(Untuk sahabat-sahabat MPT 73/74)

Sahabat-sahabatku
ingin rasanya bersamamu semula
kita nikmati zaman kegembiraan yang tiada duka
yang ada hanya keceriaan dan riang ria
ilusi kehidupan sebenar kita tayang kembali
berlagu tanpa dendam dan keciwa.

Mereka bawa kepada kita
pentas kehidupan yang lalu
penuh kenangan dan ilusi tentang keremajaan
nikmati zaman muda kita tanpa duka
siang dan malam serupa sahaja
penuh ceria dan gembira.

Kampung Congo dan Taman Bolton
mengimbau kenangan penuh riang
semuanya tergambar kembali
masa berlalu sepantas ini
dan cerita lama ditayangkan kembali
gerai kerang rebus dan anak gadis Pak Ali
hingga kini tesemat di hati.

MPT tertegak hingga kini
dan begitu juga kenangan kita di sini
menyelusurinya sepanjang usia
tidak pernah terpadam seperti mimpi
tercuit rasa dan terimbau kembali
malam-malam kita bersama mencari identiti
dapatkah diulang kembali sejarah ini?

Bila sudah berada di senja begini
terlintas siapa teman-teman yang telah pergi
dan kita sendiripun tidak lama lagi
lalu ambillah peluang yang masih ada ini
bermaaf-maafan sesama sendiri.

-          130318

 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template