23 November, 2018

HARGA DIRI


Ketika minum pagi tadi
bersendiri di pulau ini
tidak jauh dengan makammu, Mahsuri
aku terfikir tentang harga diri
masih ada nilaikah lagi?

Rupanya dalam mencari nilai

berteman hanyalah satu escapisma
tidak usah berlainan pendapat
biar selari bersama sahabat
di segenap tempat
walau hati terasa berat.

Berlainan pendapat

ertinya hilang sahabat
kita disisihkan dan bersendirian
seperti dulu kembali.

Dan akhirnya semakin hilang harga diri

nilai kita kian rendah hari ke hari
lalu buatlah keputusan
tentang hari depan.

Lalu

habiskan air dalam cawan itu dulu!

#puisigila_langkawi

#ilhamsyakima

16 March, 2018

MAKA BERKATALAH IBU



Bila berkata-kata
gunakan lidah sebaik-baiknya
jangan buat orang lain terasa
usah sampai ada hati yang luka
lebih nanti ada yang mengalirkan airmata.

Sebenarnya kita adalah dalam celaru
antara kita ada yang keliru
yang mana benar yang mana palsu
sampai berlagak sombong lupakan ibu
kita makhluk bersifat baharu
tentu kita bukannya serba tahu.

Berbicara hendaklah dengan akal
usah nanti sampai ada yang bebal
lalu berbalik kepada asal
hingga lupa di mana tinggal
lupa rupanya kita dari satu bangsal.

Ingatlah anak-anakku
biarlah kita susah dahulu
ingatlah pesan orang terdahulu
seusia ibu atau bapa kamu
sabarlah mengumpul ilmu
nanti rezeki datang ke saku
maka bahagialah hidupmu.

Mac 13/18

13 March, 2018

NUKILAN UNTUK SAHABAT




NUKILAN UNTUK SAHABAT
(Untuk sahabat-sahabat MPT 73/74)

Sahabat-sahabatku
ingin rasanya bersamamu semula
kita nikmati zaman kegembiraan yang tiada duka
yang ada hanya keceriaan dan riang ria
ilusi kehidupan sebenar kita tayang kembali
berlagu tanpa dendam dan keciwa.

Mereka bawa kepada kita
pentas kehidupan yang lalu
penuh kenangan dan ilusi tentang keremajaan
nikmati zaman muda kita tanpa duka
siang dan malam serupa sahaja
penuh ceria dan gembira.

Kampung Congo dan Taman Bolton
mengimbau kenangan penuh riang
semuanya tergambar kembali
masa berlalu sepantas ini
dan cerita lama ditayangkan kembali
gerai kerang rebus dan anak gadis Pak Ali
hingga kini tesemat di hati.

MPT tertegak hingga kini
dan begitu juga kenangan kita di sini
menyelusurinya sepanjang usia
tidak pernah terpadam seperti mimpi
tercuit rasa dan terimbau kembali
malam-malam kita bersama mencari identiti
dapatkah diulang kembali sejarah ini?

Bila sudah berada di senja begini
terlintas siapa teman-teman yang telah pergi
dan kita sendiripun tidak lama lagi
lalu ambillah peluang yang masih ada ini
bermaaf-maafan sesama sendiri.

-          130318

14 January, 2018

CINTA DUA HATI


Bermula dengan wajahnya datang saban malam
bersama renungan mata dan senyuman di bibir
buat aku terpesona dan meresahkan tidur
semoga dalam lelap mataku mimpi datang bertamu
bersamanya bak ia berada di hadapanku.

Suatu ketika sewaktu bersamanya dahulu
ia hanyalah seorang biasa seperti orang lain
dia tidak pedulikan aku dan aku buat tidak tahu
sedar-sedar masing-masing menanggung rindu
hanya yang indah dan berbunga sahaja di kamar hati.

Lalu bagaimana aku harus melayan perasaan ini
jika memang kami ditakdirkan berterusan begini
hidup terpisah masing-masing tidak melupai
setiapa waktu terfikir mana jalan harus dilalui
mungkin dapat bertemu memadu janji.

Inilah hidup yang tidak mungkin terjadi
rindu tetapi jauhnya dua hati
harapan bertemu entahlah bila

hari berganti hari masih begini juga.

14 jANUARI 2018

13 January, 2018

APA KABAR BONDA?


Sampai waktunya
aku pasti berhenti bercerita
barangkali jemu orang mendengarnya
setiap kali cerita yang serupa
setiap aku titipkan
hanya tentangmu, bonda.

Sedih dan sayu perasaanku mengenangmu
setiap kali teringat padamu terasa sebu
pasti minda ini mencari di mana kamu
aku pasti jadi seorang perindu,
apa lagi yang mampu aku lakukan
selain mengingati segala pengorbanan
selain mengenang jasa dan didikan?

Aku tetap tidak akan tinggalkan bonda
aku pasti menjagamu selagi ada tenaga
selagi aku bernyawa dan berupaya
bonda pasti tidak aku lupa.

Biarlah mereka jemu
tapi aku ada ibu.


Januari2018
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template