18 November, 2009

MUNAJAT


Ya Allah ya Tuhanku!
Peliharalah keluargaku
di kala perjuanganku tidak sampai
kepada mereka.

Sayangilah mereka
di kala rasa sayangku tidak mampu
merengkuhnya dalam dakapanku
yang nyata.

Muliakanlah mereka
di kala penghargaanku
tidak terangkum dalam kata-kata sahaja
kerana Kau memiliki sesuatu
yang diri ini tidak mampu memilikinya
iaitu RAHMAT-MU.


- ilham syakima
nov. 09

17 November, 2009

ENGKAUKAH ITU

Engkaukah yang menggamit itu
Lentik jemarimu mengeluskan rindu
Sekian lama terhakis oleh masa
Kehilangan istana indah dahulu.

Engkaukah yang mengetuk pintu
Hatiku hampir terbuka
Jemariku cuba menggapai angin
Menyentuhmu dengan ceritera pedih
Kehilangan istana indah dahulu.

Engkaukah yang memanggil
Tersedar aku bahawa hari telah siang
bahawa hidup perlu terus dijalani
Dengan luka kenangan
Dan seorang aku sedar dari lamunan
Bahawa pintu hati harus terbuka
Menghambat pergi kenangan
Menghalau jauh sejarah
Kehilangan istana indah dahulu.

16 November, 2009

TUHANKU

Tuhan
aku ingin sentiasa di pangkuanMu
namun aku sering derhaka
dan telah melakukan dosa.

Tuhan
Ampunilah aku
teguh hatiku mendambakan keampunanMu
dan aku akan sentiasa mencintaiMu
biarpun sudah pasti
aku tidak layak menjadi kekasihMu
namun aku masih
menaruh harapan dan mimpi
kepingin sentiasa bersamaMu
mewrasai kasihMu
menikmati cintaMu.


- MAi, Selangor (Tagged 09)

08 November, 2009

PENJARA HATI


Adakah kata-kata yang lebih indah
menyatakan kekusutan hatiku
menunggu penentuan dan hakikat
akal tak tercapai fikir
mengapa ia perlu terjadi
menghiasi kehidupan murniku
yang tercalar dan berdarah.

Diri tidak tertanggung lagi
harapan tidak menggunung lagi
kecamuk jiwa dan celaru hatiku
penantian yang lama
entah sampai bila
di mana garis penamatnya.

Hari inipun seperti dipenjarakan
tanpa jeriji tanpa besi
hanya maruah memisahkan
dunia yang indah satu ketika dulu
lemparkan diriku jauh ke lubuk
kehinaan dan luka maha pedih.

- ILHAM SYAKIMA
- November 2009
 

ARENAPUISI Copyright © 2008 Black Brown Pop Template designed by Ipiet's Blogger Template